JKR arah siasatan terperinci runtuhan tembok di TTDI
KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan menjalankan siasatan teknikal secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar runtuhan tembok penahan berhampiran Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan itu turut merangkumi penilaian tahap integriti struktur di kawasan terlibat serta cadangan langkah mitigasi tambahan tanpa kompromi.
“Sebarang kelemahan dari aspek pelaksanaan, penyeliaan, pematuhan teknikal atau pengurusan tapak mesti dikenal pasti dan ditangani segera.
“Kementerian Kerja Raya Malaysia tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan keselamatan awam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, tindakan segera telah dilaksanakan di lokasi kejadian termasuk kerja pembersihan kawasan, pembukaan papan dendeng di sepanjang jalan terlibat, pemasangan penghadang konkrit bersama geotekstil sepanjang kira-kira 200 meter serta kerja penyahenapan dan baik pulih sistem Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimentasi (ESCP).
Katanya, langkah tersebut penting bagi menstabilkan keadaan semasa serta mengurangkan risiko kejadian susulan.
Dalam kejadian semalam, tembok penahan sedia ada berhampiran tapak projek pembangunan Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara runtuh selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Beliau berkata, laporan awal mendapati hujan lebat antara jam 3.30 petang hingga 5.30 petang menyebabkan limpahan air dari kawasan bukit sehingga mengakibatkan ban tanah pecah dan mengalir ke perangkap kelodak.
“Pada masa sama, sistem saliran awam di bahagian hilir tidak dapat menampung aliran air dengan berkesan, termasuk kewujudan halangan utiliti di beberapa bahagian yang menyebabkan air bertakung dan melimpah ke jalan awam.
“Keadaan itu memberi tekanan kepada tembok penahan sehingga sebahagiannya runtuh bersama papan dendeng,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, semua pihak terlibat dalam projek perlu memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta mematuhi setiap arahan teknikal yang ditetapkan.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan mengutamakan keselamatan rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








