Kastam Kelantan sita rokok seludup RM1.48 juta
KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dengan merampas lebih 1.72 juta batang rokok pelbagai jenama di sebuah rumah sewa di Kampung Babong, dengan nilai anggaran termasuk cukai mencecah RM1.48 juta.
Serbuan yang dilakukan sekitar pukul 10.30 pagi hasil daripada risikan berterusan serta maklumat orang awam oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, hasil pemeriksaan di lokasi tersebut termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Innova membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok dipercayai diseludup.
“Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit digunakan untuk mengedar rokok kepada pelanggan.
“Rumah berkenaan dipercayai dijadikan stor penyimpanan sebelum barangan seludup diedarkan ke pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua rampasan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Aktiviti penyeludupan bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah turut memberi kesan buruk terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Kami menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, termasuk membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan haram,” ujarnya.
Tambah beliau, masyarakat diingatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang dan memberi ruang kepada sindiket penyeludupan untuk terus beroperasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














One Comment