‘Isu dadah bukan senjata jatuhkan imej Kelantan’ – Ketua Polis Kelantan
KOTA BHARU – Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan, usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini adalah satu jihad dan bukan bertujuan menjatuhkan imej Kelantan seperti didakwa sesetengah pihak.
Beliau berkata, tanggungjawab yang dipikul sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan memastikan negeri ini bebas daripada ancaman dadah tanpa sebarang agenda tersembunyi.
“Saya bukan ahli politik dan tidak ada sebarang kepentingan peribadi. Apa yang saya perjuangkan adalah jihad memerangi dadah kerana saya sendiri anak jati Kelantan.
“Sudah tentu saya mahu menyelamatkan negeri saya daripada bahaya jenayah dadah.
“Bukan soal menjatuhkan imej mana-mana pihak, tetapi ini adalah hasil kerja keras pasukan polis dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Kelantan,” memetik laporan BH online.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff memaklumkan nilai rampasan dadah di negeri ini bagi tempoh Januari hingga 14 Julai 2025 mencecah hampir RM22 juta, berbanding RM6.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, jumlah rampasan itu membuktikan keseriusan pihak polis dalam memerangi gejala berkenaan yang didapati masih berleluasa di sempadan dan kawasan pedalaman.
“Dalam tempoh sama juga, seramai 14,618 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, berbanding 15,007 orang tahun lalu. Ini menunjukkan bahawa usaha berterusan sedang dilakukan bagi mengekang masalah ini daripada terus menular,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, kenyataan yang dikeluarkan mengenai kejayaan rampasan bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak atau membangkitkan sentimen terhadap negeri sendiri.
“Saya hanya sampaikan fakta dan angka berdasarkan operasi yang dijalankan.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri sebelum ini pernah menyatakan bahawa kebanyakan jenayah berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
“Kalau kita berjaya tangani isu dadah, secara tidak langsung jenayah lain seperti mencuri, merompak atau membunuh boleh dikurangkan,” katanya lagi.
Tambah Mohd Yusoff, beliau tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana pihak, sebaliknya hanya berharap agar usaha jihad dadah itu diberkati dan mendapat reda Allah SWT.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








