BERITA SEMASA

JIM tumpas sindiket jual produk kosmetik tanpa kelulusan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penjualan produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu Operasi Khas yang dijalankan di Setapak dan Ampang dekat sini, hari ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh, berkata, operasi tersebut dijalankan berdasarkan aduan dan risikan selama tiga minggu sebelum pihaknya menahan tiga warganegara Indonesia yang terlibat, termasuk seorang yang dipercayai ketua sindiket berusia lingkungan 50 tahun.

“Turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita Indonesia berusia 25 dan 35 tahun yang berperanan sebagai ‘promoter online’ produk kosmetik.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik secara haram untuk dijual secara ‘online’ dengan harga RM 159 setiap satu melalui ejen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, hasil kerjasama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur berjaya merampas produk kosmetik pelbagai jenama, dua pasport Indonesia, serta wang tunai sebanyak RM 3,263 dan IDR 3,271,000.

Ruslin berkata, kesemua warga asing itu ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, dan Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, mereka juga akan disiasat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Dalam pada itu, Ruslin menegaskan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport, Peraturan Imigresen, dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Sementara itu, kesemua warganegara asing tersebut ditahan di Depot tahanan Imigresen Semenyih dan siasatan akan dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button