JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman gantung 6 lelaki bunuh Kevin Morais

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman gantung ke atas enam lelaki bagi sabitan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.

Perayu pertama hingga keenam itu ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34 serta S Nimalan, 31.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Pada 10 Julai 2020, kesemua tertuduh dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button