
Kes bunuh Kevin Morais: Tiga kekal dihukum, tiga lagi dibebaskan
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pakar patologi tentera, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 62, selepas didapati bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, yang mayatnya ditemukan dalam tong dram berisi konkrit pada 2015.
Dua lagi tertuduh, S. Ravi Chandaran, 54, dan S. Nimalan, 32, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 40 tahun serta 35 tahun dengan tambahan 12 sebatan, selepas sabitan terhadap mereka dikekalkan.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan pembebasan serta-merta terhadap tiga lagi lelaki iaitu R. Dinishwaran, 33; A. K. Thinesh Kumar, 32; dan M. Vishwanath, 35, selepas mendapati kekurangan bukti untuk mengaitkan mereka secara langsung dengan pembunuhan berkenaan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan tiga tertuduh yang dihukum, manakala menerima rayuan pihak pembelaan bagi tiga yang dibebaskan.
Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Keputusan itu merupakan penghakiman terakhir oleh Tun Tengku Maimun dan Tan Sri Abang Iskandar sebelum bersara wajib minggu ini, menjadikan kes berprofil tinggi tersebut sebagai penutup kepada kerjaya kehakiman dua tokoh perundangan negara itu.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan kesemua tertuduh bersalah membunuh Kevin di antara Jalan Dutamas Raya, Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya pada 4 September 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Baca juga : Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman gantung 6 lelaki bunuh Kevin Morais
Rayuan mereka sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu, selepas panel hakim menyifatkan pembunuhan itu sebagai sesuatu yang dirancang dengan teliti, berdasarkan keadaan kejam mayat mangsa yang ditemukan dalam tong konkrit.
Kevin kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Menara Duta dengan menaiki Proton Perdana ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, sebelum dilaporkan hilang.
Mayat beliau ditemukan 12 hari kemudian pada 16 September 2015.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment