BERITA SEMASA

Perkhidmatan tidak disambung enam bulan bukan suatu isu – Tengku Maimun

PUTRAJAYA – Ketiadaan lanjutan enam bulan bagi tempoh perkhidmatan bukanlah satu isu besar, demikian kata Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang menamatkan prosiding terakhirnya sebagai Ketua Hakim Negara hari ini.

Menurut Tengku Maimun, beliau telah menamatkan tempoh perkhidmatan selama enam tahun dengan baik sejak 2 Mei 2019, sambil menekankan kesihatan dan keupayaan menjalankan amanah adalah keutamaannya sepanjang tempoh tersebut.

“Apa yang penting, saya telah dapat berkhidmat selama enam tahun dalam keadaan sihat dan itu satu nikmat. Tiada sebarang penyesalan.

“Ketiadaan lanjutan enam bulan bukan perkara yang signifikan jika dibandingkan dengan enam tahun yang telah saya lalui. Ia bukan satu isu,” katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berharap agar Ketua Hakim Negara yang baharu kelak dapat meneruskan usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.

“Harapan dan doa saya agar legasi tersebut dapat diteruskan oleh pengganti saya serta semua hakim yang masih berkhidmat,” ujarnya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak sempena hari terakhir beliau berkhidmat sebagai hakim tertinggi negara di Mahkamah Persekutuan.

Ucapan berkenaan turut mewakili Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang akan bersara wajib pada 3 Julai ini.

Pada hari terakhir tugasnya, Tengku Maimun menyelesaikan dua prosiding penting iaitu membabitkan isu undang-undang bekas Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi serta rayuan akhir enam individu yang didapati bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Baca juga : Kes bunuh Kevin Morais: Tiga kekal dihukum, tiga lagi dibebaskan

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button