Kes Zara Qairina: AGC serah semula laporan kepada pihak polis untuk lengkapi siasatan
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kepada polis berhubung kematian pelajar sekolah agama, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 16 Julai lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, laporan itu diserahkan kembali semalam berserta dengan beberapa ‘arahan tertentu’.
“Yang kita serah balik bukan IP (kertas siasatan) tapi laporan (penuh siasatan awal). Kita dah bagi arahan tertentu, maknanya ada beberapa benda yang kita kena ‘compile’ (susun) balik.
“Kalau nak pergi secara terperinci, saya tak boleh nak cakap di sini tetapi ada beberapa perkara yang perlu dilengkapkan. Saya tak boleh nak dedahkan apa dia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Kehakiman, di sini hari ini, lapor BH Online.
Laporan media sebelum ini menyebut, AGC sudah menerima kertas siasatan kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu, kelmarin.
Allahyarham Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu setelah beberapa hari berada dalam koma setelah ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, 16 Julai lalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan, pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







