Balisong hantar mesej kepada keluarga tidak mahu ditemui
SHAH ALAM – Remaja warga Britain, David Balisong yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak 7 Jun lalu didapati menghantar pesanan kepada keluarganya supaya tidak mencarinya.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, remaja berusia 17 tahun itu didapati menghantar pesanan terbabit menerusi emel kepada ibunya, 9 Julai lalu.
“Antara isi kandungan e-mel berkenaan adalah luahan Orang Hilang (Balisong) supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya.
“Selain itu, dia turut mendoakan ahli keluarga berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini,” katanya ketika pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Emel yang dihantar itu bagaimanapun tidak menyatakan bila remaja itu akan pulang ke pangkuan keluarganya
Sementara itu, Hussein berkata, pihaknya sudah merakam keterangan daripada enam individu bagi membantu siasatan kehilangan remaja itu.
“Ini termasuk ibu remaja itu, pemandu dan kaunter bas, pekerja premis pertukaran wang asing dan anggota polis,” katanya.
Tambahnya, siasatan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kali terakhir remaja itu dikesan adalah di lobi KL Sentral, Kuala Lumpur, pukul 10.09 pagi 7 Jun lalu.
“Setakat ini, tiada rekod remaja itu keluar daripada negara ini dan usaha mencarinya sedang giat dilakukan,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, Balisong didapati melarikan diri ke Malaysia tanpa pengetahuan keluarganya.
Setibanya di Malaysia, dia terus menghilangkan diri dan mematikan telefon.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Balisong diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di talian 017-736 9187.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






