Remaja Britain hilang selepas rahsiakan penerbangan ke Malaysia
KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki warga Britain dilaporkan hilang selepas dipercayai berlepas secara rahsia ke Malaysia bulan lalu tanpa pengetahuan keluarganya.
David Balisong, 17, dari Cheadle, Greater Manchester, dipercayai meninggalkan rumah pada 6 Jun lalu dengan alasan ke sekolah bagi menduduki peperiksaan A-Level, namun sebaliknya menaiki penerbangan sehala ke Kuala Lumpur.
Menurut laporan Daily Mail, keluarganya hanya menyedari kehilangannya apabila David tidak pulang ke rumah pada malam hari kejadian dan didapati turut membawa pasportnya bersama.
Keesokan harinya, polis di United Kingdom mengesahkan bahawa David telah menaiki penerbangan secara bersendirian dari Lapangan Terbang Manchester dan tiba di Malaysia dengan visa pelancong selama 90 hari.
Ibunya, Minerva Balisong, 50, yang bekerja sebagai jururawat penjagaan kritikal, berkata mereka sekeluarga amat terkejut dan masih tidak percaya dengan apa yang berlaku.
“Perasaannya seperti dilanda tsunami. Kami langsung tidak menyangka perkara ini. Kami hanya mahu tahu dia selamat.
“Kami tidak marah padanya. Kami sangat menyayanginya dan hanya ingin dia pulang dengan selamat,” katanya seperti dilaporkan media antarabangsa.
David yang merupakan pelajar jurusan sains komputer di Universiti Manchester dikatakan mematikan telefon bimbitnya dan tidak lagi membalas emel keluarganya sejak tiba di Malaysia.
Minerva berkata, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang tanda tekanan atau masalah, malah digambarkan sebagai seorang anak dan pelajar yang baik.
“Dia seorang anak yang bertanggungjawab dan suka berada di rumah. Bila keluar pun dia akan maklumkan ke mana dia pergi.
“Kami tak nampak apa-apa yang pelik, cuma mungkin dia tertekan dengan peperiksaan,” katanya lagi.
Menurut keluarganya, David hanya mempunyai £1,200 (kira-kira RM7,200) dalam akaun bank semasa berlepas ke Malaysia dan tidak mempunyai sebarang kenalan di negara ini.
Susulan kejadian itu, keluarga David melancarkan kempen kutipan dana di platform GoFundMe bagi menampung kos perjalanan dan penginapan di Kuala Lumpur dalam usaha mengesan keberadaannya.
Setakat ini, pihak berkuasa tempatan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment