BERITA SEMASA

Jemaah malaysia meninggal ketika tawaf

MEKAH – Pemergian seorang jemaah haji warga Malaysia ketika sedang melaksanakan ibadah Tawaf Wada’ (tawaf selamat tinggal) di depan Kaabah, mengundang hiba ramai pihak.

Berita pemergian Allahyarham Hamdan Ahmad yang merupakan seorang pendidik itu dikongsikan sendiri oleh anaknya, Nawal Huda, menerusi satu hantaran di aplikasi Thread, hari ini.

Anaknya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang insan yang luar biasa serta seorang guru kehidupan yang hebat kepada semua orang yang mengenalinya.

“Abah saya meninggal hari ini di depan Kaabah di Mekah. Masa tengah buat Tawaf Wada’. Allahu Akbar, speechless. Beliau pergi menunaikan haji bersama ibu saya,” katanya.

Menurut hantaran tersebut, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menyempurnakan Tawaf Perpisahan atau Tawaf Wada’ di Tanah Suci Mekah.

Lebih menyayat hati, Allahyarham ketika itu sedang menunaikan ibadah haji bersama isterinya.

Dalam hantaran sama, beliau turut memohon orang ramai agar mendoakan kesejahteraan roh bapanya.

“Sedih bila tak dapat peluk buat kali terakhir. Jumpa nanti abah,” luahnya dalam satu lagi hantaran yang dimuat naik bersama sekeping foto Allahyarham.

Rata-rata warga netizen turut melahirkan rasa simpati dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, lebih-lebih lagi beliau dijemput Ilahi di tempat paling mulia bagi umat Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button