Jangan terpengaruh dakwaan kerajaan Pahang sekular – Wan Rosdy
PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang bersifat sekular serta mengabaikan kebajikan orang Melayu dan umat Islam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan sedemikian tidak berasas malah bertujuan mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Menurut beliau, kehadiran wakil DAP dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri tidak pernah menjejaskan pentadbiran, sebaliknya memudahkan urusan pengurusan kerajaan negeri berbanding sebelum ini.
“Ini cakap pihak tertentu yang cuba mainkan sentimen. Hakikatnya, ketika tiada DAP pun dalam kerajaan Pahang dahulu, kita hanya mampu beri bantuan penjawat awam sebulan setengah gaji.

“Tetapi sekarang, apabila saya cadangkan bantuan dua bulan gaji, tidak satu pun bantahan datang daripada mereka.
“Malah, sepanjang tiga tahun ini, ada kalanya lebih mudah kita berurusan dengan mereka berbanding rakan komponen lain sebelum ini,” katanya ketika merasmikan Penutupan Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SMAN) di sini, hari ini.
Wan Rosdy turut berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN di Pahang tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, justeru kerjasama dengan parti lain adalah keperluan demi kestabilan politik negeri.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan perbalahan politik dalam kalangan orang Melayu hanya merugikan bangsa sendiri, sedangkan pihak lain terus mengambil kesempatan daripada perpecahan tersebut.
“Jangan jadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk kita berpecah. Kita perlu bersatu dan fokus kepada pembangunan serta kebajikan rakyat,” katanya lagi.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata pentadbiran dan sistem pendidikan SMAN di negeri ini perlu melalui anjakan paradigma serta keluar daripada zon selesa bagi meningkatkan prestasi pelajar aliran agama.
Beliau memaklumkan, antara sasaran utama kerajaan negeri ialah memastikan 30 peratus daripada 18 SMAN berada dalam kelompok 30 sekolah terbaik SPM menjelang 2027, dengan sasaran 100 peratus pada tahun 2031.
“Kerajaan negeri komited bukan sahaja melalui perancangan, tetapi turut menyokong dengan peruntukan kewangan yang mencukupi.
“Bagi tahun 2026 Kerajaan Pahang memperuntukkan RM116.58 juta bagi pengoperasian SMAN, manakala RM17.4 juta lagi disediakan untuk pembinaan baharu dan kerja-kerja penyelenggaraan sekolah agama di seluruh negeri bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








