Jambatan keluli Kampung Chatel akhirnya siap
PUTRAJAYA – Pembinaan sebuah jambatan keluli merentasi Sungai Chatel Damai di Kampung Chatel, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang siap dalam tempoh enam minggu akhirnya menamatkan kesukaran penduduk yang berdepan masalah perhubungan sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurut Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), projek berkenaan menjadi bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan negara.
Katanya, pembinaan jambatan tersebut sekali gus mengakhiri keluhan penduduk yang sekian lama berdepan kesukaran untuk berhubung dengan kawasan sekitar.
“Kerajaan MADANI membuktikan tekad membina masa depan rakyat melalui penyempurnaan jambatan keluli Sungai Chatel Damai di Kampung Chatel, Lata Rek sekali gus menoktahkan masalah perhubungan yang membelenggu penduduk sejak tiga dekad lalu.
“Projek ini juga mencerminkan agenda kemanusiaan dan keadilan sosial kerajaan dalam memastikan komuniti luar bandar menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut ICU JPM, projek berkenaan dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 2 Januari lalu supaya tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat.
BACA JUGA:
Lebih 50 tetamu kenduri kahwin jatuh ke sungai akibat jambatan gantung runtuh di Kuala Krai
Penduduk harap titi gantung diganti jambatan besi
PM arah titi gantung runtuh diganti segera
Tambah kenyataan itu, kerja-kerja pembinaan bermula pada 29 Januari sebelum berjaya disiapkan sepenuhnya pada 11 Mac lalu.
“Pelaksanaan projek secara pantas ini membuktikan komitmen serta dedikasi tinggi ICU JPM Kelantan dalam memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan rakyat sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Jambatan baharu itu mempunyai ukuran sepanjang 36 meter dan lebar tiga meter serta mampu menampung kenderaan sehingga lima tan.
Keadaan itu membolehkan laluan kenderaan seperti kereta dan lori ringan menggunakan jambatan tersebut, berbanding sebelum ini yang hanya boleh dilalui motosikal dan basikal.
ICU JPM menegaskan penyediaan infrastruktur berkualiti seperti jambatan berkenaan merupakan antara faktor penting dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, khususnya bagi komuniti luar bandar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







