BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

Projek jalan Jerantut–Lipis siap 17 hari awal, dibuka esok – KKDW

JERANTUT – Projek jalan dan jambatan yang menghubungkan Kampung Labu, Jerantut ke Kampung Mela, Kuala Lipis berjaya disiapkan 17 hari lebih awal daripada jadual asal, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, laluan berimpak tinggi itu akan dibuka secara rasmi esok, bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Dilaksanakan melalui kaedah reka dan bina sejak 20 Mac 2018, projek tersebut melibatkan jajaran dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak dan Kampung Gemunchur menuju ke Kampung Mela, serta menghubungkan dua daerah utama di Pahang iaitu Jerantut dan Lipis.

“Kemudahan itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat selain menjadi pemangkin ekonomi luar bandar khususnya dalam sektor pelancongan dan pertanian.

“Dengan pembukaan laluan baharu ini, jarak perjalanan antara Kampung Labu dan Kampung Mela dipendekkan daripada 60 kilometer kepada hanya 17 kilometer, manakala tempoh perjalanan yang sebelum ini mengambil masa sejam kini hanya 15 minit,” menurut kenyataan KKDW.

KKDW
Jalan dan jambatan yang menghubungkan Kampung Labu, Jerantut ke Kampung Mela, Kuala Lipis, Pahang. – Foto KKDW

Menurut kenyataan itu lagi, selain menjadi laluan strategik pelancongan dari Taman Negara Kuala Tahan ke Tanah Tinggi Cameron Highlands melalui Kuala Lipis, projek ini turut membawa simbolik bermakna kepada rakyat kerana dilaksanakan bersempena Hari Kebangsaan.

Baca juga : Pembangunan desa : RM3.37 bilion sudah dibelanjakan – TPM

“KKDW turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Pahang serta JKR Daerah Lipis atas dedikasi mereka merealisasikan projek ini meskipun berdepan pelbagai cabaran,”

Sementara itu, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, KKDW menegaskan pembangunan jaringan jalan luar bandar akan terus diperkukuh sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi masyarakat desa di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button