LUAR NEGARA

Islamofobia: Suspek mengaku berniat bunuh orang Islam

WASHINGTON – Polis menahan seorang suspek di Utah kerana disyaki menikam seorang lelaki Muslim berkali-kali di sebuah pusat beli-belah sebelum mengaku menyasarkan mangsa kerana agamanya.

Reuters yang memetik rekod mahkamah yang didedahkan polis berkata, suspek memberitahu pihak berkuasa bahawa dia “berniat membunuh orang Islam” dan menyifatkan mereka sebagai sebagai “ancaman besar kepada keselamatan awam” jika dibebaskan berikutan tindakan ganas, ideologi serta rancangan serangan yang berpotensi mengorbankan ramai orang.

Kejadian berlaku di Valley Fair Mall di West Valley City, kelmarin.

Polis berkata mangsa, yang merupakan seorang pekerja kiosk beragama Islam, mengalami luka kesan tikaman di seluruh badan dan kehilangan banyak darah sebelum orang awam berjaya menahan suspek sehingga anggota polis tiba.

Suspek dikenali sebagai Peter Michael Larsen, 48 dan kini ditahan di Penjara Daerah Salt Lake bagi membantu siasatan atas tuduhan cubaan membunuh serta memiliki senjata berbahaya yang dilarang.

Menurut afidavit penahanan, Larsen mengaku menyasarkan mangsa dengan niat membunuh kerana mangsa beragama Islam.

Laporan Salt Lake Tribune yang memetik Imam Shuaib Din dari Pusat Islam Utah berkata, suspek terlebih dahulu menghampiri mangsa, bertanyakan nama dan agamanya serta meminta sebotol air.

Ketika mangsa berpaling untuk mengambil air tersebut, suspek tiba-tiba mengeluarkan senjata dan menikamnya berulang kali.

Mangsa kini dirawat di hospital dalam keadaan kritikal. Seorang rakan mangsa turut membuka halaman GoFundMe yang memaklumkan mangsa ditikam sebanyak 15 kali dan memerlukan beberapa pembedahan.

Suspek turut menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialaminya ketika ditahan oleh orang awam sebelum dibawa ke penjara.

Insiden itu berlaku ketika kebimbangan terhadap peningkatan Islamofobia di Amerika Syarikat terus mendapat perhatian.

Aktivis hak asasi menyatakan, sentimen kebencian terhadap umat Islam meningkat sejak serangan 11 September 2001 dan dipengaruhi oleh faktor seperti dasar anti-imigran, fahaman ketuanan kulit putih serta kesan perang Israel di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button