Insiden wanita buta tinggal bersama jasad anak selama 5 hari amat menyedihkan
Boleh dielakkan sekiranya masyarakat prihatin dengan keadaan jiran sekampung
KUCHING – Insiden wanita warga emas cacat penglihatan berusia 69 tahun yang tinggal bersama jasad anaknya selama lima hari di Kampung Teluk Sabang, Samarahan, baru-baru ini cukup menyedihkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau bagaimanapun percaya insiden sedemikian dapat dielakkan jika masyarakat prihatin dengan keadaan jiran sekampung.
Menurutnya, ketua kampung sepatutnya sentiasa memantau penduduk di bawah tanggungjawabnya terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan dan tinggal jauh dari jiran lain.
“Kita tidak sepatutnya hanya mengambil perhatian terhadap masalah penduduk ketika musim pilihan raya sahaja, tetapi perlu sentiasa peka terhadap keadaan jiran dan individu yang memerlukan bantuan.
“Kita melantik ketua masyarakat dan sukarelawan di kampung untuk menjadi mata serta telinga kepada agensi kebajikan dan mereka perlu mengetahui siapa yang tinggal bersendirian serta siapa yang memerlukan bantuan,” katanya selepas hadir pada Festival Nyamai Sarawak Gastronomy 2025 di Kampung Budaya Sarawak, di Santubong, hari ini.
Beliau turut menggesa mana-mana individu yang berdepan kesukaran menjaga ahli keluarga terutama warga emas atau orang kurang upaya (OKU) supaya menghubungi JKM di Sarawak bagi mendapatkan nasihat dan bantuan sewajarnya.
“Kerajaan menyediakan banyak kemudahan, cuma masyarakat perlu tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.
“Jangan takut atau segan, kerana keutamaan kami ialah memastikan kebajikan semua termasuk yang hidup dalam kesunyian,” katanya lagi.
Beliau turut memberitahu, wanita warga emas itu kini ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK), di sini.
“Lebih baik dia ditempatkan di RSK kerana tinggal keseorangan dan tidak mempunyai waris.
“Kalau ada keluarga sudah tentu mereka akan mengambilnya, namun setakat ini tiada siapa tampil menuntut,” katanya.
Beliau menambah, wanita berusia 69 tahun akan menjalani pemeriksaan kesihatan serta beberapa prosedur lanjut akan diaturkan bagi memastikan kebajikan dan rawatannya terjamin.
Laporan media sebelum ini menyebut mengenai insiden wanita warga emas yang cacat penglihatan terpaksa merangkak keluar dari rumah ke Jalan Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan bagi mendapatkan bantuan selepas beberapa hari tinggal bersama jasad anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, sebelum itu anak wanita terbabit yang berusia 48 tahun mengadu sakit dada dan sesak nafas pada 30 November lalu.
Menurutnya, wanita itu menyedari anaknya sudah meninggal dunia, namun tidak berupaya berbuat apa-apa, selain berharap ada yang datang membantu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






