Insiden tragis di masjid Perancis didorong ‘nafsu membunuh’ — Pendakwa raya
PARIS — Seorang lelaki warga Perancis berusia 20 tahun bertindak sendirian dengan menikam sehingga mati seorang jemaah di sebuah masjid di selatan Perancis.
Mangsa, Aboubakar Cisse, 22, seorang warga Mali yang juga seorang sukarelawan di Masjid La Grand-Combe, maut selepas ditikam sebanyak 57 kali.
Suspek, Olivier Hadzovic, dikatakan turut merakamkan serangan itu sebelum melarikan diri ke Itali dan menyerah diri kepada polis.
Pendakwa Raya Nimes, Cecile Gensac, memaklumkan bahawa suspek tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas atau fahaman ekstremis.
“Dia dipandu oleh keinginan melampau untuk membunuh. Sekiranya tidak berjaya, dia merancang untuk membunuh diri. Ini adalah tindakan peribadi tanpa motif ideologi,” jelas Gensac.
Siasatan turut mendedahkan bahawa suspek aktif di media sosial dan sering menonton kandungan berunsur keganasan.
“Mesej sebelum kejadian menunjukkan niatnya memilih mangsa berdasarkan warna kulit.
“Suspek berasal daripada keluarga yang besar, bukan penganut agama dan mempunyai 11 anak,” katanya.
Sementara itu, Presiden Emmanuel Macron menegaskan bahawa tiada tempat untuk kebencian agama di Perancis, manakala komuniti Muslim menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan tindakan pihak berkuasa dalam menangani jenayah kebencian.
“Dengan kurangnya perhatian daripada media dan pemimpin, kami bukan sahaja berdukacita, tetapi turut berasa tidak selamat,” kata Abdelghani Bentrari, pengurus Masjid Tremblay.
Lebih 700 orang hadir dalam solat jenazah Cisse di masjid tempat beliau berkhidmat, manakala satu lagi majlis penghormatan diadakan di Tremblay-en-France, berhampiran Paris.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau, dikritik kerana tidak mengunjungi tempat kejadian atau menemui keluarga mangsa.
Peguam keluarga mangsa, Mourad Battikh, meminta agar kes itu diklasifikasikan semula sebagai serangan pengganas.
“Jika mangsa berlatar belakang lain, tindakan mungkin sudah diambil. Komuniti Muslim berhak mendapat perlindungan yang sama,” katanya.
Jenazah Cisse dijangka dihantar pulang ke kampung halamannya di Yaguine, barat daya Mali, untuk dikebumikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








