Insiden Putra Heights: TNB tawar rebat 100 peratus satu bulan bil
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan rebat 100 peratus bagi satu bulan bil secara ‘one-off’ berdasarkan caj semasa bil bulan Mac 2025 bagi pelanggan yang terjejas akibat insiden letupan gas di Putra Heights, Selasa lepas.
TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, program tanggungjawab sosial (CSR) Bantuan Kebakaran TNB itu akan dikredit ke dalam bil elektrik bulan April 2025 pengguna yang terjejas.
Selain bantuan rebat 100 peratus, TNB turut menyediakan bantuan dengan memastikan tiada caj sambungan bagi permohonan semula bekalan elektrik untuk rumah yang mengalami gangguan bekalan akibat insiden ini.
“Tiada surcaj lewat bayar bagi bil semasa dikenakan dan TNB juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta kontraktor berdaftar yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan pendawaian, bagi memastikan sistem elektrik di rumah yang terkesan dalam keadaan baik dan selamat.
“Pada ketika ini, TNB sudah membuka kaunter perkhidmatan berhampiran Bilik Gerakan Polis bermula 2 April untuk memudahkan pengguna yang terjejas mendapatkan bantuan perkhidmatan berkaitan elektrik,” kata TNB dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, kata TNB lagi, pegawainya akan menghubungi semua pelanggan yang terkesan untuk mengatur bentuk bantuan yang akan disalurkan.
“Pengguna juga boleh menghubungi Ketua Perhubungan Pelanggan TNB, Encik Thava, di talian 012-6060954 untuk sebarang maklumat lanjut.
“TNB akan menilai inisiatif bantuan dari semasa ke semasa mengikut keperluan selanjutnya dan komited untuk terus memantau status bekalan elektrik di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.
“TNB mendoakan kesejahteraan semua pihak yang terbabit dan berharap kerja pemulihan berjalan lancar,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








