BERITA SEMASARENCANA

Kami lari sejauh mungkin’ – Mangsa letupan paip gas di Putra Heights

“SAYA ingatkan kapal terbang jatuh terhempas,” demikian kata Muhammad Nasir Hamid, 69, salah seorang mangsa letupan paip gas yang menggemparkan penduduk Putra Heights di Selangor baru-baru ini.

Muhammad Nasir yang menetap di Lot 4, Kampung Kuala Sungai Baru, antara individu paling terkesan dalam insiden itu apabila kediamannya musnah sepenuhnya akibat letupan itu.

Muhammad Nasir Hamid

Ketika kejadian berlaku, beliau berada di dalam rumah bersama ahli keluarga.

“Bunyi dan gegaran waktu itu begitu luar biasa. Sangat menakutkan. Saya dengar dentuman kuat dan bila keluar, api dah marak.

Batu-batu jatuh merata-rata, bahang panas dah mula tangkap kaki. Kami tak sempat ambil apa-apa, dokumen penting semua hangus. Kami lari sejauh mungkin, bimbang ada letupan susulan,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui Malaysia Tribune di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Letupan yang berlaku lebih 200 meter dari rumahnya itu menyebabkan beliau dan keluarganya kehilangan tempat berteduh.

Kenderaan milik keluarga Muhammad Nasir hangus terbakar dalam insiden itu.

Salah seorang anaknya cedera di bahagian belakang ketika menyelamatkan diri.

“Anak saya pun lari berkaki ayam. Jalan dah mula panas, udara nampak perang,” tambahnya.

Bapa kepada sembilan orang anak itu kini menumpang sementara di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan awal yang diterima setakat ini adalah daripada pihak wakil rakyat berjumlah RM300 dan sebuah kereta Proton yang disediakan oleh DRB-Hicom.

Insiden letupan besar pada saluran paip gas yang berlaku pada 1 April lalu di Putra Heights, Selangor menggemparkan negara.

Sementara itu, permohonan bagi mendapatkan rumah sementara telah dilakukan tetapi masih menunggu jawapan.

“Ramai NGO nak bantu, tapi saluran tak jelas. Ada yang betul-betul nak tolong, tapi tak tahu macam mana.

“Kadang-kadang yang bukan mangsa pula dapat lebih perhatian,” luahnya lagi merujuk kepada kekeliruan dalam proses sumbangan dan bantuan.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Syukri Suhaimi Bashar, 36, turut berada di lokasi kejadian bersama isteri dan empat orang anak ketika kejadian.

Muhammad Syukri Suhaimi Bashar

Mereka sekeluarga sedang bersiap-siap untuk beraya ketika insiden tersebut berlaku menyebabkan mereka terperangkap di dalam rumah selama lebih satu jam.

“Saya terperangkap dari pukul 8 hingga 9.30 pagi. Kami cuba tunggu suhu panas reda sebelum keluar selamatkan diri.

“Tapi Alhamdulillah, kami semua selamat. Memang terkesan dengan kejadian ini, tapi kita tak boleh meratap lama-lama.

“Saya percaya apa yang berlaku ini adalah ujian dan mungkin Allah nak ampunkan dosa saya. Jadi saya bersangka baik dengan takdir Allah,” katanya.

Sidang media oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Putra Heights semalam.

Insiden tragis itu membuka mata ramai pihak tentang pentingnya keselamatan dalam pengurusan infrastruktur gas.

Siasatan sedang dijalankan melibatkan pelbagai kemungkinan termasuk kecuaian pihak kontraktor.

Namun begitu, bagi Muhammad Nasir, Syukri dan mangsa-mangsa lain, yang paling penting kini adalah masa depan.

Mereka perlukan rumah baru, kehidupan baru yang diharap akan dapat dibina semula dengan bantuan yang adil dan tersusun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button