BERITA SEMASA

Pelajar IPTA terjejas akibat kebakaran di Putra Heights akan diberi fleksibiliti – KPT

SUBANG JAYA – Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menjadi mangsa dan terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights akan diberikan fleksibiliti dalam menyambung pengajian mereka.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, universiti awam (UA), politeknik dan kolej komuniti sudah diarahkan berbuat berbuat demikian.

Katanya, kemudahan itu termasuk mengadakan kelas dan kelas tambahan secara dalam talian, dan juga bantuan sokongan psikososial.

“Universiti awam memang menawarkan fleksibiliti dan bersedia menyokong pelajar ini yang terbabit dalam tragedi letupan kebakaran paip gas berkenaan.

“Kita tidak mahu tragedi ini menyebabkan sebarang kelewatan atau mengganggu fokus mereka dalam pelajaran,” katanya selepas menyerahkan bantuan kewangan kepada pelajar yang terjejas akibat kejadian itu, di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui agensi Yayasan Perkasa Siswa dan Jabatan Pendidikan Tinggi, menyediakan bantuan RM2,000 kepada setiap pelajar pendidikan tinggi yang terjejas.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 70 pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerima bantuan itu, sama ada melalui wang tunai atau pemindahan secara dalam talian.

Tambahnya, pihak KPT akan turut berbincang dengan Kementerian Digital berhubung bantuan yang boleh diberikan kepada pelajar yang mengalami kerosakan peranti mereka terutama komputer riba.

“Perbincangan dengan Kementerian Digital perlu kerana kita tidak mahu bantuan ini bertindih, jadi kita akan mengumpulkan data dan mengenal pasti mereka yang belum menerima sebarang bantuan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button