BERITA SEMASA

Insiden Putra Heights: KPM salur bantuan RM1,000 kepada murid, warga pendidik terjejas

SUBANG JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini mengumumkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada murid dan warga pendidik terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, semalam.

Kata Fadhlina, bantuan itu akan disalurkan dalam masa terdekat untuk meringankan beban mangsa, khasnya yang kehilangan kelengkapan persekolahan, termasuk buku teks, lapor BH Online.

“Untuk anak-anak, guru dan kakitangan KPM terlibat, kita akan berikan sumbangan RM1,000 seorang. Ini termasuk sumbangan lain untuk bantuan persekolahan. Sebab ada yang ‘total lost’ (musnah sepenuhnya), barang keperluan sekolah sudah tidak ada langsung dan musnah.

“Jadi, saya minta JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) bantu. Kita akan mengaktifkan pasukan kaunselor di PPS (pusat pemindahan sementara) ini dan pasukan sokongan akademik,” katanya selepas melawat mangsa di PPS Masjid Putra Heights, hari ini

Kata Fadhlina, 102 mangsa termasuk lima guru serta kakitangan KPM terbabit dalam insiden itu.

“Anak-anak ini belum boleh memulakan persekolahan mereka minggu depan kerana bergantung kepada persiapan dan kesihatan mereka. Perkara ini ambil sedikit masa bagi memastikan kesediaan mereka dari segi psikologi dan keperluan persekolahan lain.

“Empat murid masih dirawat di hospital. Insiden ini melibatkan anak-anak dari 23 sekolah di sekitar kawasan ini. Untuk itu, KPM ambil tanggungjawab penuh jaga kebajikan mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button