Insiden Putra Heights jadi simbol perpaduan Malaysia – Nga Kor Ming
PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menyifatkan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini sebagai lambang semangat perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, semasa kejadian yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri kedua itu, beberapa rumah ibadat termasuk Masjid Nurul Iman Puchong, Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman telah tampil memberi perlindungan kepada mangsa kebakaran.
“Inilah Malaysia, di mana kita sentiasa saling membantu tidak kira latar belakang. Semangat muhibah seperti ini wajar disemai dan dijadikan inspirasi kepada generasi akan datang,” ujarnya ketika berucap pada Majlis MADANI Muhibah KPKT Aidilfitri 1446, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertindak pantas memadamkan kebakaran besar itu.
“Kita amat berbangga dengan keberanian dan dedikasi para Wira dan Wirawati Merah yang bertugas tanpa mengira masa demi keselamatan rakyat,” katanya lagi.
Bagi membantu mangsa terjejas, KPKT memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan terlibat.
Tambahnya, SWCorp dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) turut dikerahkan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.
Dalam majlis bertemakan “Muhibah” itu, Kor Ming menegaskan bahawa perpaduan rakyat pelbagai kaum merupakan tonggak utama kestabilan negara.
“Muhibah bukan sekadar slogan tetapi amalan hidup. Kalau kita mahu pergi jauh, kita mesti pergi bersama. Stronger Together adalah kunci kejayaan kita,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








