BERITA SEMASA

Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram tetap diteruskan – Zamri Vinoth

KUALA LUMPUR – Penganjur Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GERAH) menegaskan perhimpunan yang dirancang pada malam ini akan tetap diteruskan, meskipun pihak polis telah memutuskan untuk tidak membenarkannya atas faktor keselamatan awam.

Penganjur GERAH, Zamri Vinoth berkata, perhimpunan berkenaan bertujuan mempertahankan kedaulatan undang-undang serta membantah jenayah pencerobohan, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu perkauman, agama atau agenda politik tertentu.

“Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman berkaitan kedaulatan undang-undang dan menentang jenayah ceroboh. Ia tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana individu, perkauman atau sensitiviti agama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurutnya, penganjur turut menolak sebarang cubaan mengaitkan GERAH dengan perkara yang tidak berkaitan dan niat perhimpunan tersebut adalah secara aman.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum itu memaklumkan perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Perkarangan Kompleks Sogo, di sini, pada jam 8 malam, tidak dibenarkan atas kebimbangan terhadap keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas polis menjalankan risikan keselamatan serta menerima bantahan daripada pengurusan premis sekitar lokasi perhimpunan, selain mengambil kira jangkaan kehadiran orang ramai yang tinggi berikutan musim perayaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.

Polis turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button