BERITA SEMASA

Harimau Malaya jadi tumpuan pemuliharaan di Perak

TAIPING – Kerajaan negeri Perak terus memperkukuh usaha pemuliharaan spesies terancam, khususnya Harimau Malaya, yang kini diancam kepupusan kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, langkah konservasi dilaksanakan menerusi pelbagai pendekatan termasuk peranan penting Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang menjadi antara pusat pemuliharaan utama negara.

Harimau Malaya jadi tumpuan pemuliharaan di Perak
Harimau Malaya jadi tumpuan pemuliharaan di Perak

“Harimau Malaya merupakan simbol kebanggaan negara, namun statusnya kini sangat terancam. Oleh itu, usaha memelihara spesies ini perlu digembleng bersama agar ia tidak lenyap dari bumi Malaysia,” katanya ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-64 ZTNS, malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir.

Kok Lim berkata, ZTNS bukan sahaja memainkan peranan dalam aspek konservasi haiwan tetapi juga mendidik masyarakat melalui program-program berasaskan pendidikan dan kelestarian seperti program Anak Angkat Haiwan, penghasilan baja kompos serta penglibatan komuniti dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.
Sementara itu, Khairul Amir menjelaskan ZTNS sebagai zoo tertua di Malaysia berperanan penting dalam konservasi spesies terancam secara eks situ termasuk usaha pembiakan Harimau Malaya, gajah Asia dan tapir.

“Usaha ini turut dijalankan dengan kerjasama institusi penyelidikan serta penyertaan dalam program pelepasan semula haiwan ke habitat asal,” katanta lagi.

Sempena sambutan ulang tahun itu, ZTNS turut melancarkan perkhidmatan Bas Hop-On Hop-Off (HOHO) yang membolehkan pengunjung meneroka keunikan tarikan sekitar bandar Taiping secara interaktif dan informatif.

Pelbagai program lain juga disusun sepanjang tahun termasuk Sambutan Hari Orang Utan Sedunia pada 30 Ogos, Zoorama 2025 dari 13 hingga 21 September serta Minggu Burung Taiping yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 12 Oktober.

Majlis turut menyaksikan pelancaran logo dan slogan baharu ZTNS sebagai langkah memperkukuh imejnya sebagai antara pusat konservasi terpenting negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button