DALAM putaran tujuh hari seminggu, Allah SWT telah memilih satu hari yang begitu agung kedudukannya iaitu hari Jumaat.
Dikenali sebagai penghulu segala hari, Jumaat merupakan anugerah istimewa buat umat Nabi Muhammad SAW yang dipenuhi dengan keberkatan, peluang keampunan dan ganjaran yang berlipat ganda.
Pada hari inilah terkandung satu saat mustajab doa yang tidak ditolak, bahkan ia juga menjadi hari di mana khutbah dan solat Jumaat mengangkat martabat jemaah lelaki sebagai pemimpin dalam masyarakat.

Ia adalah hari pertemuan rohani, penyucian jiwa dan pengukuhan ukhwah umat Islam di seluruh dunia.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan, pada hari itulah dia dimasukkan ke syurga, dan pada hari itulah dia dikeluarkan daripadanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim al-Hafiz berkata, hari Jumaat menyimpan banyak rahsia keistimewaan.
“Ia menjadi waktu yang dianjurkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW, membaca surah al-Kahfi serta memperbanyakkan doa terutama ketika waktu mustajab antara Asar dan Maghrib.

“Peluang ini datang setiap minggu, namun ramai yang sering terlepas begitu sahaja akibat kelalaian terhadap dunia,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Menurutnya lagi, amalan pada hari Jumaat seharusnya dijadikan momentum untuk menyucikan hati dan memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
“Jumaat ialah anugerah mingguan yang Allah beri kepada umat ini. Ia ibarat perhentian rohani di tengah kesibukan duniawi.
“Kalaulah kita tahu betapa besarnya nilai sebenar hari Jumaat, kita tidak akan biarkan ia berlalu tanpa bekalan akhirat walaupun sesaat,” ungkapnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, solat Jumaat yang dilaksanakan oleh setiap lelaki Muslim bukan hanya ibadah fardu, tetapi juga satu lambang kekuatan kolektif umat Islam.
“Melalui khutbah dan doa bersama, Jumaat menjadi ruang menyuburkan kefahaman agama dan membangkitkan kesedaran sosial dalam kalangan masyarakat yang mungkin terleka mengejar dunia,” katanya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Jumu’ah, ayat 9: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”

Tegas Dr. Muhammad Sufi, ayat itu mengingatkan betapa pentingnya untuk kita segera ke masjid dan meninggalkan seketika kesibukan dunia yang tidak akan pernah habis.
“Selain itu, mimbar Jumaat memainkan peranan penting sebagai wahana pencerahan minda dan pengukuhan iman dalam hati umat Islam.
“Khutbah Jumaat bukan sekadar ritual. Ia medium dakwah yang sepatutnya membentuk masyarakat berilmu dan beramal. Perlu ada usaha untuk jadikan mimbar Jumaat sebagai suara yang menyentuh hati umat,” tambah beliau.
Malah, lebih penting daripada segalanya, Jumaat wajar dijadikan hari muhasabah dan pembaharuan taubat.
“Setiap Jumaat, Allah buka ruang taubat dan rahmat yang luas. Jangan biarkan hari yang penuh nur ini diliputi oleh kelalaian dan kealpaan,” pesan beliau.

Amalan Yang Menghidupkan Hari Jumaat
Terdapat beberapa amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat. Antaranya ialah:
– Mandi sunat dan memakai pakaian bersih serta berwangi-wangian
– Memotong kuku
– Membaca surah al-Kahfi
– Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW
– Memberi sedekah mengikut kemampuan diri
– Berdoa bersungguh-sungguh, terutamanya pada penghujung hari iaitu waktu mustajab doa antara Asar dan Maghrib
Dalam dunia yang semakin menggoncang iman dan melemahkan jiwa, Jumaat hadir sebagai tali penyambung kekuatan rohani.
Ia bukan sekadar hari dalam kalendar, tetapi hari yang membuka peluang meraih syafaat Rasulullah SAW dan keampunan Ilahi.
Moga kita menjadi umat Muhammad SAW yang memanfaatkan Jumaat dengan penuh keinsafan dan kesyukuran, lalu tergolong dalam golongan yang diberi cahaya di akhirat nanti. Insya-Allah, Amin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








