Ganjaran besar puasa sunat enam hari di bulan Syawal
BULAN Syawal bukan sahaja bulan untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa Ramadan, malah turut menyimpan satu lagi peluang istimewa untuk umat Islam menambah pahala.
Melalui amalan puasa sunat enam hari atau lebih dikenali sebagai puasa enam, ia mampu memberi pahala berganda buat mereka yang melaksanakannya.
Pensyarah Jabatan Syariah Islamiah Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, amalan tersebut bukan sekadar sunnah biasa bahkan disebut secara jelas dalam banyak hadis sahih.

Antara hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub al-Ansari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka dia seolah-olah telah berpuasa sepanjang tahun.”
Menurut beliau, para ulama berpendapat, pahala amalan dalam Islam digandakan sepuluh kali ganda.
Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-An’am, ayat 160 yang bermaksud:
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari akhirat kelak), maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya.”
“Maka, puasa sebulan Ramadan bersamaan dengan 10 bulan dan enam hari di bulan Syawal pula bersamaan dengan dua bulan.

“Ini menjadikan ganjaran keseluruhannya seumpama berpuasa setahun penuh. Inilah rahmat dan kemurahan Allah SWT yang tidak ternilai buat hamba-Nya yang taat dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan,” jelas beliau ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Selain itu, kelebihan puasa enam turut terserlah dengan kemudahannya untuk dilaksanakan.
“Ia boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli sepanjang bulan Syawal, asalkan mencukupi enam hari sebelum masuk bulan Zulkaedah.
“Hal ini memberi ruang kepada umat Islam untuk menyesuaikan amalan tersebut dengan keperluan dan kesibukan masing-masing selepas Aidilfitri,” ujarnya lagi.
Tambah Dr. Muhammad Sufi, puasa sunat Syawal juga memberi isyarat penting tentang kesinambungan ibadah selepas Ramadan.
Memetik kata-kata Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif, beliau menyatakan: “Balasan bagi ibadah yang sempurna bukanlah dengan meninggalkannya selepas selesai Ramadan, tetapi menyambungnya dengan ibadah tambahan sebagai tanda diterimanya amal itu.”
“Justeru, ia menjadi bukti bahawa kita tidak hanya beribadah ketika bulan mulia itu sahaja, sebaliknya berusaha untuk kekal dekat dengan Allah SWT sepanjang tahun.

“Amalan ini juga secara tidak langsung mampu menjadi titik permulaan bagi seseorang untuk meneruskan momentum spiritualnya sekali gus menjaga hubungan dengan Allah dalam kehidupan harian,” tegas beliau lagi.
Di samping mempunyai ganjaran pahala yang besar, puasa sunat seperti itu juga mampu menjadi sebab seseorang diampunkan dosanya dan dikurniakan keberkatan dalam rezeki dan kehidupan.
Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa amalan puasa mampu menjadi benteng daripada api neraka dan menghapuskan dosa-dosa kecil.
“Maka, janganlah kita lepaskan peluang istimewa yang hanya hadir sekali dalam setahun ini.
“Ayuh kita sempurnakan amalan enam hari berpuasa di bulan Syawal sebagai tanda syukur kita atas nikmat Ramadan yang baru berlalu.
“Semoga Allah menerima segala amalan kita dan menjadikan kita tergolong sebagai hamba-Nya yang diangkat darjat dan beroleh nikmat dibebaskan dari api neraka,” katanya menutup bicara.
Cara Puasa Sunat Syawal
1. Dimulakan dengan niat: “Aku berniat puasa sunat Syawal esok hari kerana Allah Taala.”
2. Boleh dilakukan secara enam hari berturut-turut atau diselang-selikan
Berkata Imam Nawawi RA: “Dan sunat puasa enam hari daripada bulan Syawal dan berturutan enam hari itu afdhal.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
3. Harus hukumnya berniat qada’ puasa yang wajib dan puasa sunat seperti puasa Syawal sekali gus bagi hari yang sama. Namun, lebih afdhal jika dibuat berasingan.
Berkata Syeikh Dr. Ali Jum’ah: “Ya, harus bagi seorang Muslim berniat puasa sunat serta niat puasa fardu. Maka dia telah menunaikan puasa yang telah luput dari Ramadan pada bulan Syawal dan memadai dengan setiap hari yang dia tunaikan itu dari puasa satu hari dari enam hari bulan Syawal dan hasil dengan yang demikian itu oleh kedua-dua ganjaran. Dan lebih sempurna dan lebih afdhal ialah dia mempuasakan setiap dari keduanya secara berasingan.” (Majlis Fatwa Negeri Mesir)
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







