AGAMARENCANA

Amalan istimewa saat mencecah usia 40 tahun, detik muhasabah, kematangan rohani

DALAM Islam, usia 40 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya adalah titik tolak penting dalam perjalanan seseorang hamba.

Di sinilah seorang Muslim diseru untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah, bermuhasabah atas perjalanan hidupnya dan mempersiapkan diri menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Dr Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, Al-Quran telah menyebut perihal usia 40 tahun secara khusus.

Doa ini sangat digalakkan untuk dibaca terutama bagi mereka yang telah mencecah usia 40 tahun.

Ia melalui firman Allah dalam surah Al-Ahqaf, ayat 15 yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”

Menurut Dr Muhammad Sufi, ayat tersebut menggambarkan sebagai masa kematangan di mana seseorang seharusnya mula benar-benar bersyukur, beramal soleh dan mendoakan zuriatnya agar berada di jalan yang diredhai Allah.

Dr. Muhammad Sufi menegaskan usia 40 tahun sepatutnya mencerminkan fasa seseorang semakin dekat dengan alam akhirat.

“Malah, ia juga merupakan umur ketika Rasulullah SAW menerima wahyu pertama menandakan satu isyarat bahawa usia 40 tahun adalah permulaan fasa tanggungjawab dan peranan besar dalam kehidupan,” jelas beliau kepada Malaysia Tribune.

Tambah Dr Muhammad Sufi, ramai ulama dan pendakwah menganjurkan membaca doa seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut apabila seseorang itu telah mencapai usia tersebut.

Umat Islam perlu cenderung kepada ibadah termasuk mengutamakan solat jemaah bagi lelaki apabila usia sudah meningkat bagi meraih keredhaan Allah. 

“Ini kerana ia mencerminkan fasa di mana seseorang semakin dekat dengan alam akhirat, lebih cenderung kepada ibadah dan mula menumpukan kepada pembinaan keturunan yang soleh.

“Ayat ini merupakan doa yang memohon ilham untuk bersyukur, bukan sekadar mengenang nikmat, tetapi juga menzahirkannya dengan amal,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Sufi menegaskan antara inti pati doa tersebut termasuklah menghargai jasa ibu bapa yang menjadi sebab utama kewujudan dan kejayaan seseorang dalam hidup.

“Tidak ketinggalan, melaluinya, kita meminta agar diberi kekuatan untuk beramal soleh yang benar-benar mendapat redha Allah di samping berdoa agar anak-anak dan keturunan diperbaiki, bukan hanya dari sudut akhlak dan agama, malah dilindungi daripada segala kerosakan zaman,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, seiring peredaran usia, maka pastilah kita mahu menjadi yang lebih baik berbanding apa yang dilakukan ketika waktu muda.

“Justeru, pada usia 40 tahun seharusnya seseorang Muslim benar-benar bertaubat menginsafi segala dosa lalu dan mengakui kelemahan diri dengan penuh kerendahan hati sekali gus kembali kepada Tuhan,” ucapnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bacaan doa ini tidak terhad kepada mereka yang telah mencecah usia 40 tahun sahaja, tetapi pada usia itu, ia menjadi lebih bermakna kerana Allah SWT menyebut secara khusus umur tersebut sebagai titik perubahan.

Ibu bapa juga perlu berdoa agar zuriat keturunan mereka dipelihara oleh Allah dalam kehidupan dunia dan akhirat.

“Ini menggambarkan bahawa usia 40 adalah masa yang kritikal untuk muhasabah, memperkukuh iman, mendidik anak-anak dan menyusun semula keutamaan hidup agar lebih berorientasikan akhirat.

“Doa ini bukan sekadar permintaan, tetapi sebuah ikrar kehidupan untuk menjadi hamba yang bersyukur, anak yang berbakti, ibu bapa yang bertanggungjawab dan Muslim yang sejati.

“Ingat, usia 40 tahun bukan permulaan kelemahan, tetapi detik kebangkitan menuju pengakhiran yang diredhai dan penuh keimananan,” kata beliau menutup bicara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button