BERITA SEMASA

Hafiz BP mohon maaf secara terbuka kepada Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Seorang pengguna media sosial yang menggunakan akaun ‘Hafiz BP’ hari ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar susulan sebuah hantaran tular yang mengandungi maklumat tidak tepat serta kata-kata berbaur penghinaan terhadap beliau.

Kes berkenaan mula tular sejak beberapa hari lalu apabila Hafiz BP atau nama sebenarnya Hafiz Sahidi memuat naik satu hantaran berkaitan isu institusi pondok dan mengaitkannya dengan Menteri Agama.

Hantaran tersebut turut disertai kata-kata kecaman seperti ‘bodoh’ dan ‘dua kali lima’ hingga menimbulkan kritikan warganet sebelum akhirnya dipadamkan oleh pemilik akaun itu.

Dalam permohonan maaf yang dikongsikan, Hafiz mengakui bahawa laporan yang dibuatnya adalah tidak benar dan berdasarkan maklumat yang tidak sahih.

“Kenyataan saya sebelum ini adalah salah dan tidak menepati fakta sebenar.

“Saya kini faham bahawa berita sebenar adalah penafian daripada pihak YB Menteri sendiri mengenai isu tersebut dan saya telah tersilap melaporkan fakta berkenaan,” katanya menerusi video tersebut.

Hafiz turut menjelaskan bahawa sumber asal gambar dan maklumat yang digunakannya telah ditularkan tanpa konteks tepat oleh pihak lain menyebabkan beliau tersalah tafsir.

“Penggunaan bahasa saya terhadap Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar khususnya perkataan ‘bodoh’ dan ‘dua kali lima’ adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak berasas sama sekali,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Hafiz turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Mohd Na’im dalam memajukan institusi pondok dan pendidikan Islam di Malaysia melalui pelbagai dasar dan inisiatif.

Ia termasuklah bantuan kepada institusi pondok, program latihan kepimpinan, Sekolah Angkat MADANI, Lestari Al-Falah, Pondok Daim Muda 2025, Muzakarah Umara-Ulama Pondok Kebangsaan 2025 serta penubuhan Sekretariat Pondok MADANI.

Beliau kemudian menarik balik sepenuhnya kenyataan asal yang dibuat dan memohon maaf atas salah faham yang tercetus.

“Saya dengan ikhlas dan tanpa syarat menarik balik kenyataan-kenyataan saya dan memohon maaf secara terbuka atas segala kata-kata yang saya siarkan dalam posting tersebut.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi kenyataan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button