Reruai dirampas: MRM dakwa DBKL sahkan tiada lesen diperlukan, laluan sama pernah diguna Menteri Agama untuk dakwah
KUALA LUMPUR — Pertubuhan dakwah, Multiracial Reverted Muslims (MRM) memohon penjelasan lanjut daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti Street Dakwah yang diambil terhadap pihaknya di Bukit Bintang kelmarin.
Pengerusinya, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, sejak awal lagi pihaknya telah mengambil langkah proaktif mendapatkan kepastian daripada DBKL berkaitan keperluan lesen bagi aktiviti tersebut.
Menurut beliau, hasil pertemuan dengan Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL sebelum ini mengesahkan bahawa lesen tidak diperlukan kerana aktiviti yang dijalankan tidak melibatkan urusan perniagaan dan berlangsung di ruang awam, bukan dalam premis komersial.
“Sepanjang 14 tahun Street Dakwah dijalankan, tiada larangan rasmi atau kompaun pernah dikeluarkan kepada MRM, termasuk pada hari kejadian barang-barang dakwah kami disita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, sekiranya benar berlaku pelanggaran peraturan, MRM sebagai organisasi yang menghormati undang-undang bersedia mengaku dan membayar kompaun sewajarnya.
Mengulas mengenai, kenyataan DBKL bahawa tindakan diambil kerana reruai menghalang laluan awam, Azim berkata lokasi tersebut merupakan kawasan sama yang digunakan oleh kumpulan buskers hampir setiap hari selepas aktiviti Street Dakwah tamat.
Beliau turut merujuk kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasam, yang sebelum ini turut menyertai aktiviti santai bersama buskers di lokasi sama pada 30 Januari lalu di Kuala Lumpur.
“Jika benar lokasi tersebut dikategorikan sebagai menghalang laluan awam, maka garis panduan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh terhadap semua pihak.
“MRM tidak memohon layanan istimewa, hanya konsistensi dalam penguatkuasaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyangkal dakwaan tiada wakil organisasi tampil memberi kerjasama kepada pegawai penguat kuasa DBKL.
Menurut Azim, seorang sukarelawan MRM berada di lokasi selepas selesai urusan peribadi dan interaksi dengan pegawai DBKL telah berlaku termasuk membuka rantai keselamatan reruai dengan kerjasama wakil MRM.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana struktur reruai boleh dialihkan sekiranya tiada wakil MRM di lokasi, selain memaklumkan bahawa sukarelawan terbabit turut mengambil gambar kehadiran pegawai penguat kuasa di lokasi kejadian.
“Oleh itu, kenyataan bahawa tiada wakil tampil memberi kerjasama adalah tidak selari dengan fakta yang berlaku di lokasi,” katanya.

Azim menegaskan MRM kekal komited untuk menghormati undang-undang serta tidak memanipulasi isu tersebut menjadi polemik perkauman atau agama.
Menurutnya, organisasi itu hanya mempertahankan integriti apabila kenyataan yang dikeluarkan memberi gambaran yang tidak tepat.
Sementara itu katanya, MRM turut menyambut baik penjelasan DBKL bahawa aktiviti dakwah di ruang awam tidak dihalang yang menurutnya mengesahkan bahawa program Street Dakwah boleh diteruskan seperti biasa.
Beliau menambah, aktiviti tersebut bukan sekadar program dalaman, tetapi menjadi platform interaksi terbuka antara masyarakat pelbagai latar belakang termasuk pelancong asing, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman terhadap Islam dan budaya Malaysia.
MRM dalam masa sama menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan semua aktiviti dijalankan secara teratur dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








