Pengumpulan data tanpa izin: Google terima tuntutan RM1.48 Bilion
KUALA LUMPUR – Google diperintah membayar pampasan AS$314 juta (RM1.48 bilion) kepada pengguna Android di California.
Keputusan itu dibuat oleh juri di Mahkamah California menerusi saman tindakan kelompok yang difailkan pada 2019, melibatkan kira-kira 14 juta pengguna di negeri berkenaan.
Plaintif mendakwa Google menghantar dan menerima data daripada peranti Android meskipun ia tidak digunakan, sekali gus menyebabkan pengguna menanggung kos data mudah alih tanpa disedari.
Tindakan itu digambarkan sebagai satu amalan yang tidak dapat dielakkan dan memberi kelebihan komersial kepada syarikat melalui pengiklanan bersasar.
Peguam mewakili pihak plaintif, Glen Summers, menyifatkan keputusan juri sebagai pengesahan terhadap pelanggaran privasi yang serius.
“Keputusan ini membuktikan tuntutan sah yang dikemukakan dan menunjukkan keperluan syarikat bertanggungjawab terhadap perlakuan mereka,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Google, Jose Castaneda memaklumkan bahawa syarikat akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
“Kami percaya keputusan ini berdasarkan salah tafsir terhadap fungsi penting yang menyokong keselamatan dan prestasi peranti Android,” katanya dalam satu kenyataan.
Google turut mempertahankan bahawa pengguna telah memberikan persetujuan terhadap pengumpulan data menerusi terma perkhidmatan dan dasar privasi, serta menegaskan tiada kerosakan sebenar berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi perbicaraan persekutuan melibatkan tuntutan serupa daripada pengguna Android di 49 negeri lain di Amerika Syarikat dijadualkan untuk dibicarakan pada April 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







