
George Town dikenali semua, tidak perlu tukar nama – Wong
GEORGE TOWN – Tiada keperluan untuk kerajaan Pulau Pinang mengubah nama Georgetown kerana ia telah dikenali seluruh rakyat Malaysia dan dunia sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, nama tempat itu juga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 7 Julai 2008.
“Pengiktirafan antarabangsa itu menegaskan kedudukan George Town sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia yang menarik pengunjung dari seluruh dunia.
“Nama George Town dikenali sejak sekian lama dan tiada sebarang isu yang timbul berkenaan dengan nama tempat itu,” katanya memetik laporan Bernama.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS negeri, Muhammad Fawwaz dalam kenyataannya mempersoalkan kerajaan negeri berhubung pertimbangan semula nama George Town kepada nama asalnya iaitu Tanjung Penaga.
Persoalan itu ditimbulkan susulan sebuah klip video mempromosikan sambutan ‘George Town Festival 2024’ didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.
Dalam kenyataan itu, Muhammad Fawwaz meminta supaya mempertimbangkan penamaan semula tempat itu sebagai lambang identiti Malaysia itu sendiri.
Dalam pada itu, Wong menjelaskan bahawa nama Tanjong sebelum ini telah diangkat ke Dewan Rakyat dan dinamakan sebagai satu daripada kawasan Parlimen di Pulau Pinang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








