FELCRA umum agihan keuntungan interim kedua, RM207 juta
Kinabatangan – FELCRA Berhad mengumumkan agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2, Tahun 2025 berjumlah RM207 juta.
Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pembayaran agihan keuntungan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini yang memberi manfaat kepada seramai 76,694 peserta di seluruh Malaysia, membabitkan 775 projek untung.
Ahmad Jazlan berkata, prestasi keseluruhan Projek-Projek Penyatuan dan Pemulihan Felcra Berhad sehingga Ogos 2025 mencatatkan jumlah keuntungan RM297 juta sekali gus menunjukkan peningkatan hampir RM78 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Saya berharap agihan ini bukan sahaja menjadi suntikan kewangan tetapi juga pembakar semangat kepada semua peserta untuk terus memajukan projek masing-masing.
“Jadikan keuntungan ini sebagai modal untuk meningkatkan produktiviti, mengguna pakai teknologi baharu dan memperkukuh daya saing agar Felcra terus menjadi tonggak pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2025 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di Dataran Kinabatangan di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Jazlan berkata, Felcra Berhad memainkan peranan penting dalam memperkasa masyarakat luar bandar termasuk di Sabah, dengan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Di Sabah, Felcra melaksanakan tanggungjawab mengurus tanah-tanah pertanian seluas 15,704 hektar membabitkan 2,252 peserta sejak tahun 1995,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







