FELCRA komited perkukuh tadbir urus, laksana syor PAC
KUALA LUMPUR – FELCRA Berhad komited memperkukuh tadbir urus dan integriti organisasi menerusi pelaksanaan pelbagai langkah penambahbaikan susulan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan perolehan ladang sawit.
Dalam satu kenyataan hari ini, FELCRA memaklumkan pihaknya mengambil maklum teguran yang dikemukakan PAC serta menghormati segala syor bagi mempertingkatkan tadbir urus syarikat.
Menurut kenyataan itu, FELCRA turut menghargai pengiktirafan PAC terhadap langkah penambahbaikan yang telah dilaksanakan, khususnya dalam memperkemaskan proses perolehan serta meningkatkan penelitian sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.
Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) perolehan tanah, mewajibkan penilaian daya maju oleh perunding bebas serta memperketat pemantauan di peringkat pengurusan dan Lembaga Pengarah.
“Setiap keputusan akan terus berpaksikan prinsip pengurusan yang berhemah, tadbir urus yang kukuh, integriti serta mengutamakan kepentingan peserta,” menurut kenyataan itu.
FELCRA turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada PAC dalam memantau pelaksanaan syor serta tindakan penambahbaikan yang berkaitan.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pengurusan lebih 230,000 hektar ladang di bawah kendaliannya, selain meneruskan inisiatif memperkukuh agenda keterjaminan makanan selaras dengan peranannya dalam pembangunan ekonomi luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan peserta.
Menurut FELCRA, pihaknya juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan setiap tindakan susulan dilaksanakan secara berkesan, telus dan berintegriti dengan mengambil kira kepentingan organisasi serta peserta.
“FELCRA percaya teguran, pemantauan dan syor yang membina merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan yang akan menjadikan organisasi lebih kukuh, berakauntabiliti dan berdaya tahan dalam melaksanakan amanah kepada peserta, masyarakat luar bandar dan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








