Demam babi Afrika dikesan di Ampang
AMPANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan enam bangkai babi hutan ditemui di dua lokasi berasingan di Ampang disahkan positif dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF), sejenis penyakit haiwan yang berjangkit dalam kalangan spesies babi.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, laporan mengenai penemuan bangkai diterima dalam tempoh antara 28 April hingga 15 Mei lalu, melibatkan kawasan di Jalan Tebrau 1 dan Dataran Ukay.
“Setiap kes telah disiasat secara menyeluruh oleh pasukan Perhilitan di peringkat negeri sebelum sampel bangkai dihantar untuk analisis di ibu pejabat.
“Ujian pengesahan seterusnya dilakukan oleh Makmal Veterinar Zon Tengah, di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan keputusan ujian yang diperoleh pada 20 Mei lalu menunjukkan kesemua sampel positif ASF melalui kaedah ujian qPCR.
“Penyakit ini hanya menjejaskan haiwan daripada spesies babi dan tidak memberi ancaman kepada kesihatan manusia atau haiwan lain.
“Dalam usaha membendung penyebaran jangkitan, Perhilitan melaksanakan langkah-langkah kawalan termasuk pelupusan bangkai secara teratur, penyahjangkitan kawasan terjejas dan pemantauan berkala di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“Kami turut bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti DVS dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kawalan biosekuriti dilaksanakan dengan ketat di semua kawasan terlibat,” katanya.
Beliau memaklumkan langkah pencegahan lain termasuk pensampelan bangkai baharu serta pemantauan kesihatan hidupan liar giat dijalankan bagi mengekang penularan jangkitan ke kawasan lain.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak mendekati atau menyentuh mana-mana bangkai haiwan liar yang dijumpai, terutama babi hutan, bagi mengelakkan potensi penyebaran virus ini secara tidak sengaja,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






