BERITA SEMASA

42 individu dikesan buang sampah kecil pada ambang Tahun Baharu 2026

KUALA LUMPUR – Seramai 42 individu dikesan membuang sampah kecil di tempat awam sepanjang sambutan ambang Tahun Baharu 2026, sekali gus dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dalam Ops Cegah yang dilaksanakan awal pagi tadi.

42 individu dikesan buang sampah kecil pada ambang Tahun Baharu 2026

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berkata, tindakan penguatkuasaan penuh bermula jam 12.01 tengah malam, 1 Januari 2026, melibatkan individu yang didapati membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa di kawasan awam.

“Operasi bersepadu berkenaan dijalankan di 11 lokasi tumpuan di negeri-negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

42 individu dikesan buang sampah kecil pada ambang Tahun Baharu 2026

“Kesemua individu terlibat akan disiasat dan seterusnya didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Antara sisa yang paling banyak dikesan sebagai kesalahan ialah puntung rokok, botol air, tin minuman, tisu, plastik serta pembalut makanan.

Ops Cegah melibatkan mobilisasi anggota penguat kuasa SWCorp di seluruh negeri, pengurusan tertinggi agensi itu serta kerjasama erat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, seramai 330 kakitangan syarikat konsesi turut digerakkan bagi membersihkan kawasan sambutan agar kembali bersih dalam tempoh singkat.

SWCorp berkata, selain dikenakan denda, individu yang disabitkan kesalahan juga boleh dikenakan hukuman tambahan berupa kerja khidmat masyarakat bagi meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

“Operasi berkenaan ditamatkan pada jam 3 pagi sebelum operasi susulan diteruskan bagi memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pembuangan sampah kecil boleh menyalurkannya melalui WhatsApp Aduan SWCorp di talian 013-210 7472.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button