AGAMABERITA SEMASA

Konsert Malam Hijrah Bergema satukan seni, dakwah sambut Ambang Tahun Baharu

PUTRAJAYA – Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung dalam suasana penuh penghayatan apabila elemen seni dan dakwah digabungkan sebagai medium menyampaikan mesej penghijrahan jiwa sempena sambutan ambang tahun baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, penganjuran Konsert Malam Hijrah Bergema bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya merupakan platform dakwah kontemporari yang relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.

“Kami melihat seni sebagai bahasa masa hadapan dakwah. Apabila mesej Islam disampaikan dengan hikmah, kreativiti dan keindahan, ia bukan sahaja menyentuh hati, malah membina pemikiran serta menyatukan generasi.

“Inilah visi TV AlHijrah, memimpin perubahan melalui kandungan yang relevan, berjiwa dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas konsert di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahli Lembaga Pengarah TV AlHijrah serta barisan Ketua Agensi Hal Ehwal Agama.

Konsert
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris (dua dari kanan) bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli (dua dari kiri) pada Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah.

Mengulas lanjut, Namanzee berkata, hijrah yang diketengahkan bukan sekadar perubahan luaran, sebaliknya melibatkan hijrah jiwa, akhlak dan cara berfikir.

“Sambutan menggalakkan terhadap konsert ini membuktikan masyarakat bersedia menerima pendekatan dakwah yang segar, progresif dan berteraskan nilai.

“Seiring itu, TV AlHijrah melihat Konsert Malam Hijrah Bergema sebagai inisiatif jangka panjang dalam mendekati penonton melalui seni Islamik yang membina, dengan hasrat menjadikannya sebagai acara tahunan bagi menyemarakkan pengisian rohani sempena ambang tahun baharu,” katanya.

Konsert
Antara artis yang melakukan persembahan pada Konsert Malam Hijrah Bergema.

Konsert Malam Hijrah Bergema menampilkan barisan artis jemputan seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika), selain penyanyi legenda Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nash.

Antara karya yang dipersembahkan termasuk Pergi Tak Kembali, Intifada, Kasih Kekasih, Nurkasih, Pada Syurga Di Wajahmu, Mahligai Syahdu, Ghazal Untuk Rabiah, Kian dan lain-lain, yang sarat dengan mesej dakwah serta kerohanian.

Setiap persembahan disusun rapi bagi membawa hadirin menyelami makna hijrah melalui lirik-lirik yang sarat dengan mesej keinsafan, harapan dan ketundukan kepada Ilahi.

Kemuncak konsert menyaksikan para penonton bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu-lagu bertemakan penghijrahan diri, sekali gus mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa, muhasabah dan azam untuk menjadi insan yang lebih baik.

Respon hangat penonton sepanjang konsert jelas memperlihatkan keberkesanan seni sebagai bahasa dakwah yang mampu menyentuh emosi serta menyatukan masyarakat.

Dalam pada itu, Namanzee berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua artis jemputan, rakan strategik, agensi terlibat serta media yang sentiasa menyokong usaha memperkasa program dakwah melalui pendekatan seni.

“Saya berharap inisiatif seumpama ini terus berkembang sebagai platform menyemarakkan mesej Islam yang rahmah, menyatukan masyarakat dan membina jiwa dari tahun ke tahun,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button