BERITA SEMASA

JAKIM panggil individu Muslim disyaki terbabit ‘Interfaith Water Ceremony’

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil seorang individu beragama Islam yang disyaki terbabit dalam program Interfaith Water Ceremony bagi mendapatkan penjelasan berhubung penglibatannya.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, individu terbabit bukan pegawai JAKIM.

“Pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan pemilik akaun Facebook, Ahmad Iqram Mohamad Noor, yang mendedahkan penglibatan umat Islam dalam program berkenaan, bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh.

“Perkara ini sedang diteliti dengan serius oleh JAKIM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Iqram memuat naik artikel bertajuk ‘Muslim Terlibat Dalam Dakyah Sesat Interfaith Water Ceremony’ yang mengaitkan program Loving Couple Festival di sebuah hotel dengan pelaksanaan ritual gereja, iaitu upacara doa bersama pemimpin agama lain.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kemudiannya menjelaskan program berkenaan berlaku tujuh tahun lalu di sebuah hotel di Seberang Jaya dan telah dilaporkan secara rasmi oleh media tempatan, dengan fokus kepada sambutan serta pengiktirafan terhadap pasangan berkahwin pelbagai bangsa.

Sirajuddin berkata, JAKIM bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan penilaian dibuat mengikut perundangan sedia ada.

“JAKIM sentiasa komited memelihara kesucian akidah umat Islam.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat dimohon membuat laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button