BERITA SEMASASUKAN

Sampuri Superfight 2026 gegar arena Muay Thai tempatan

AMPANG – Arena Muay Thai tempatan kembali bergema apabila kejohanan Sampuri Superfight 2026 berjaya menghimpunkan barisan petarung tempatan dan antarabangsa dalam aksi penuh sengit di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Jalan Ampang, hujung minggu lalu.

Kejohanan anjuran Sampuri MuayThai Gym Ampang dengan kerjasama Persatuan Seni Pusakamuay Malaysia itu menyaksikan penyertaan atlet dari Malaysia, Yemen, Hong Kong,Thailand,China dan Kemboja.

Penganjur yang juga Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Zon 7, Fahrulrazi Zailan berkata, sebanyak lapan pertarungan utama berlangsung pada malam pertama membabitkan 16 petarung.

Menurutnya, antara aksi paling mencuri perhatian kira-kira 500 penonton yang hadir ialah pertarungan antara Sham Anak Kapak dari KL Cops menentang Naseer dari Yemen.

Hari kedua kejohanan pula menampilkan tujuh lagi pertarungan membabitkan atlet Malaysia dan pencabar antarabangsa termasuk dari Kemboja serta Yemen.

“Antara aksi utama ialah pertarungan Hakim Feady dari KL Cops menentang Vannak dari Kun Khmer selain Nigel dari Core Fight Gym bertemu Salah dari Yemen.

“Kategori wanita turut menjadi tumpuan menerusi pertarungan antara Cinta dan Miss Cha yang disifatkan antara aksi paling dinanti penonton,” katanya kepada pemberita.

Kejohanan itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Yang turut hadir,Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (kiri) bersama Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Syed Ahmad berkata, semangat kesukanan yang dipamerkan para atlet berjaya menyatukan komuniti Muay Thai menerusi disiplin, keberanian dan semangat juang tinggi di gelanggang.

“Tahniah dan syabas kepada semua atlet Muay Thai dari Malaysia dan luar negara yang telah berjuang di SuperMuay Malaysia 2026.

“Teruskan disiplin dan keberanian kerana ia mampu mengangkat sukan tempur ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam kejohanan tersebut, petinju Polis Kuala Lumpur, Mazlusham Mohamed atau lebih dikenali sebagai Sham Anak Kapak dari Cawangan Kem Komandan Polis Kuala Lumpur berjaya merangkul Tali Pinggang Ketua Polis Kuala Lumpur selepas menewaskan petinju Yemen, Naseer.

Kejohanan tersebut dianjurkan dengan sokongan penaja utama, Rafahia Holdings Berhad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button