BERITA SEMASA

Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 tawar hadiah lebih RM10,000

AMPANG – Tasik Pandan Perdana di Ampang Jaya di sini bakal menjadi tumpuan pemancing dari seluruh negara dalam Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang akan berlangsung pada Ahad ini, dengan penyertaan dijangka mencecah 500 peserta.

Pertandingan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersama Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic, dan Tourism Malaysia itu bertujuan mempromosikan tasik berkenaan sebagai destinasi rekreasi komuniti selain menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Hasrolnizam Shaari (dua dari kanan) bersama wakil penganjur bersama Cabaran Joran Ampang Jaya 2025.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, penganjuran acara itu sejajar usaha memartabatkan tasik-tasik bandar sebagai aset pelancongan tempatan yang boleh dimanfaatkan oleh seisi keluarga.

“Kita mahu menjadikan Tasik Pandan Perdana sebagai salah satu tarikan pelancongan domestik dan ruang rekreasi masyarakat setempat, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi kawasan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai usaha memulihara dan memperkaya biodiversiti tasik, MPAJ turut melaksanakan pelepasan dua spesies ikan iaitu lampan sungai dan baung, sebagai tambahan kepada populasi semulajadi sedia ada seperti tilapia, patin, belida, toman, haruan, keli, ketutu dan ikan bandar raya.

Pertandingan akan menggunakan format ‘sapu bersih’, membolehkan semua spesies ikan layak dipertandingkan dan dinilai oleh pihak penganjur.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM4,000, diikuti tempat kedua RM1,000, ketiga RM700, manakala 70 peserta terbaik turut akan menerima hadiah saguhati sebanyak RM70 setiap seorang.

Yuran penyertaan ditetapkan pada RM40 bagi sebatang joran, dan peserta yang mendaftar awal berpeluang menerima baju-T eksklusif.

Pendaftaran dibuka pada hari Sabtu dari pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam dan disambung semula pada Ahad dari pukul 6.30 pagi hingga 10.00 pagi di lokasi pertandingan.

Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh melalui talian 013-2661077, 012-3554946 atau 012-2846811, serta laman Facebook rasmi di facebook.com/jorankl.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button