BERITA SEMASA

Ekyn Wong fail tindakan undang-undang susulan kecaman, penyebaran maklumat peribadi

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Nur Asyiqin Mohd Dalil atau lebih dikenali sebagai Ekyn Wong akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah, membuat tohmahan serta mendedahkan maklumat peribadi dia dan ahli keluarganya susulan penularan video kontroversi ketika melancong ke China.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan firma guaman Tetuan Amirul Shahidda & Co. hari ini, pihak peguam memaklumkan mereka menerima arahan tegas daripada anak guam mereka untuk tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang masih menerbitkan kenyataan berunsur fitnah, provokasi dan menyebarkan maklumat peribadinya.

Menurut kenyataan itu, video berdurasi 25 saat yang dimuat naik pada 15 Jun lalu memaparkan reaksi spontan Nur Asyiqin yang menyatakan rasa kurang senang terhadap keadaan dan bau di sekeliling ketika bersesak menaiki sebuah bas di China.

Bagaimanapun, susulan penularan video tersebut, pelbagai pihak didakwa mengambil kesempatan dengan menerbitkan kandungan berunsur tohmahan, ugutan, kecaman dan fitnah terhadapnya menerusi platform seperti Threads, Instagram, TikTok dan Facebook.

Menurut firma guaman itu, antara tindakan yang didakwa berlaku ialah pendedahan maklumat pekerjaan Nur Asyiqin, penghinaan terhadap anak-anak dan ahli keluarganya, penyebaran butiran perniagaan miliknya serta penerbitan video dan ulasan berunsur provokasi yang mencetuskan kecaman orang ramai.

“Kesan yang diterima dan dihadapi anak guam kami ialah dia bimbang akan keselamatan diri serta keluarganya berikutan pelbagai ugutan dan tohmahan melampau daripada warga maya.

“Reputasi anak guam kami dan keluarga turut terjejas akibat tohmahan serta penerbitan yang dimanipulasi dan berunsur provokasi,” menurut kenyataan itu.

Firma guaman berkenaan turut menjelaskan bahawa kandungan video yang dimuat naik adalah pandangan dan tindakan peribadi Nur Asyiqin serta tidak mewakili mana-mana individu lain termasuk rakan-rakan yang menyertai percutian tersebut.

Sehubungan itu, mereka menggesa orang ramai menghentikan sebarang provokasi dan kecaman terhadap individu lain yang dikaitkan dengan video berkenaan.

“Kami mempunyai arahan yang tegas oleh anak guam kami untuk merizabkan segala haknya dan menafikan segala kenyataan dan tohmahan berunsur fitnah.

“Anak guam kami mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang masih melakukan penerbitan berunsurkan kenyataan fitnah, tohmahan yang tidak berasas serta melakukan penyebaran maklumat peribadi dia dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, video memaparkan Nur Asyiqin mengulas mengenai bau badan penduduk tempatan ketika melancong di China tular di media sosial sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk beberapa pendakwah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button