BERITA SEMASA

Adik pempengaruh nafi dakwaan abangnya ditemukan meninggal dunia

MUAR – Adik kepada pempengaruh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin yang sebelum ini dilaporkan hilang tampil menafikan dakwaan bahawa abangnya ditemukan meninggal dunia.

Menurut Tengku Abdul Aziz Tengku Zainudin,30, dakwaan yang menjadi tular di media sosial itu sama sekali tidak benar, lapor HMetro.

“Saya sebagai adik kandung kepada Ija Nizaruddin (panggilan abangnya), meminta jasa baik semua mengatakan dia meninggal dunia, sila padam hantaran itu.

“Masih belum ada kesahihan dan polis masih mencari abang saya,” kata Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Terdahulu, Ija Nizaruddin dilaporkan hilang kelmarin, dan semalam, kereta Perodua Axia miliknya ditemukan dalam Sungai Tui di Bukit Kepong.

Tengku Abdul Aziz turut memberitahu, lokasi penemuan kereta abangnya itu hanya beberapa kilometer daripada lokasi mereka bertemu sebelum itu.

“Sebelum itu, kami bertemu kerana ada urusan perniagaan dan kami kemudiannya bergerak ke lokasi berlainan memandangkan ada perkara perlu diselesaikan.

“Ija memberitahu dia mahu ke bengkel rakannya di Parit Jawa dan kami dimaklumkan kali terakhir dapat menghubunginya 4 petang kelmarin. Selepas itu, kami gagal hubungi sehingga kini,” katanya lagi.

Dalam perkembagan berkaitan, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman berkata, pihaknya dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Pagoh dan Muar dalam proses menaikkan kereta dari sungai.

Katanya, sehingga kini, tiada mangsa ditemukan dan pasukan penyelamat giat menjalankan operasi pencarian lelaki itu.

“Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di talian bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button