JENAYAH & MAHKAMAH

Dua mayat terapung di Sungai Kedah dikenal pasti sebagai remaja OKU, pesakit psikiatri

ALOR SETAR – Dua mayat yang ditemukan terapung di Sungai Kedah berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini pagi tadi dikenal pasti sebagai seorang remaja orang kurang upaya (OKU) lembam dan seorang lelaki yang mempunyai sejarah penyakit psikiatri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa ialah Saw Chee Wan, 16, dari Seberang Perak dan N Thiagarah, 46, atau nama Islamnya Muhammad Amin Abdullah dari Tanjung Bendahara yang dilaporkan hilang sejak kelmarin.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa ditemukan pada pukul 9 pagi oleh petugas pembersihan yang sedang menjalankan kerja di kawasan sungai berkenaan.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 100 meter antara satu sama lain sebelum pihak berkuasa dimaklumkan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati Chee Wan merupakan seorang OKU lembam, manakala Muhammad Amin pula adalah pesakit psikiatri berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli keluarga masing-masing.

“Kedua-dua mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan atau kaitan antara satu sama lain,” katanya.

Syed Basri berkata, identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarga menerusi pengecaman barang-barang peribadi yang ditemukan bersama mayat.

Menurutnya, pemeriksaan awal pasukan forensik tidak menemukan sebarang unsur jenayah pada kedua-dua mangsa.

“Setakat ini tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan berlakunya perbuatan jenayah. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button