13 laluan BAS.MY Kota Setar mula beroperasi di bawah Program Transformasi SBST
KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 laluan baharu bas berhenti-henti di bawah jenama BAS.MY Kota Setar mula beroperasi secara berperingkat bermula 1 Jun lalu, menerusi pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di negeri Kedah.
Pelaksanaan program itu adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2024, dengan peruntukan berjumlah RM80 juta bagi tempoh lima tahun atau purata RM16 juta setahun.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), inisiatif itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan bas berhenti-henti di bandar Alor Setar dan kawasan sekitarnya termasuk Sungai Petani, Jitra, Kuala Kedah, Kuala Nerang dan Pendang, sejajar dengan usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam darat negara.
“Antara laluan strategik yang disediakan merangkumi sambungan ke lokasi penting seperti Hospital Sultanah Bahiyah, Pekan Rabu, Stadium Darul Aman, UTC Kedah, institusi pengajian tinggi (UiTM Merbok, POLIMAS) dan hab pengangkutan seperti Terminal Shahab Perdana, KTM Alor Setar dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan dalam bandar disediakan dengan kekerapan setiap 30 minit manakala bagi laluan rentas daerah, kekerapan adalah antara 60 hingga 90 minit.
“Sebanyak 48 buah bas baharu jenis midi dan mini low-floor digunakan dalam program ini yang lebih kondusif, mesra warga emas dan OKU, serta dilengkapi kemudahan bayaran tanpa tunai dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya lagi.
Sementara iru, MOT berkata Gopi Travel Tours Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengendali perkhidmatan menerusi proses tender terbuka, dengan pengalaman sedia ada mengurus operasi SBST di Seremban.
Dalam usaha meringankan beban rakyat, kerajaan turut memperkenalkan Kad Konsesi BAS.MY yang menawarkan tambang percuma kepada warga emas, OKU, pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Selain itu, pengguna juga boleh memanfaatkan Kad 30 Hari BAS.MY dengan bayaran RM50 yang membolehkan penggunaan tanpa had selama 30 hari.
Program itu dijangka memberi manfaat kepada 28,000 pengguna sebulan, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta menjimatkan kos harian penduduk setempat.
Sehubungan itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyeru kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan pihak berkuasa tempatan untuk menambah baik kemudahan hentian bas dan laluan pejalan kaki demi keselesaan dan keselamatan rakyat.
Kementerian Pengangkutan melalui APAD akan terus komited dalam mewujudkan sistem pengangkutan awam yang efisien, selamat dan berdaya saing, selaras dengan nilai Malaysia MADANI berteraskan kesejahteraan dan ihsan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



