BERITA SEMASA

Dr Zambry tinjau kehidupan mahasiswa menerusi Program Semarak Kampus di UTM

JOHOR BAHRU – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meneruskan pendekatan mendekati warga kampus menerusi Program Semarak Kampus dengan menginap di kolej kediaman Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut beliau, ia memberi peluang merasai sendiri kehidupan sebagai sebahagian daripada komuniti kampus bersama para pelajar.

semarak kampus
Seorang mahasiswa mengambil peluang merakam gambar selfie bersama Dr Zambry.

“Malam tadi, saya meluangkan masa dalam sesi sembang santai bersama para pelajar, ahli akademik dan warga UTM.

“Dalam suasana yang santai, kami berbincang tentang pelbagai perkara, daripada pengalaman kehidupan di kampus, cabaran semasa, aspirasi anak muda sehinggalah idea-idea untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, pagi ini pula aktiviti dimulakan dengan menunaikan solat Subuh berjemaah di surau bersama warga UTM sebelum berkongsi pandangan dalam sesi telaah dan bedah buku.

“Pengalaman bermalam di kampus seperti ini sentiasa memberikan perspektif yang lebih dekat tentang kehidupan mahasiswa.

“Mendengar sendiri pandangan mereka, memahami cabaran yang dihadapi serta melihat semangat mereka untuk menimba ilmu,” katanya.

Menurut Dr Zambry, program yang berlangsung di UTM itu merupakan kesinambungan siri jelajah yang sebelum ini turut diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UTM atas sambutan mesra yang diberikan sepanjang program berkenaan.

“Semoga Program Semarak Kampus terus menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara kepimpinan, ahli akademik dan mahasiswa demi membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih cemerlang, inklusif dan berdaya saing,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button