BERITA SEMASA

Sedekad Misi Everest UTM diangkat, semarak inspirasi generasi muda

PUTRAJAYA – Sambutan Sedekad Misi UTM Everest 2016 yang bakal berlangsung di Tibet, China dari 3 hingga 13 Jun ini menjadi pentas mengimbau semula ketabahan serta kecekalan dua bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam usaha menawan puncak Gunung Everest.

Program anjuran Persatuan Alumni UTM (PAUTM) itu bukan sahaja bertujuan mengabadikan detik bersejarah tersebut, malah menyuntik inspirasi kepada generasi muda melalui semangat juang yang dipamerkan pasukan berkenaan.

Sambutan berkenaan turut menandakan pelancaran Program Dekad Legasi UTM Everest 2026 yang akan menempuh laluan mencabar di Tibet, sekali gus menghidupkan kembali memori ekspedisi terdahulu.

Dua nama yang pernah mengharumkan nama negara dan universiti, Farul Aidib Mohamad Yusoff, 32, dan Azim Afif Ishak, 37, terus dijulang sebagai simbol keberanian serta daya tahan generasi muda.

Mantan Chef de Mission misi tersebut, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor berkata, sambutan sedekad itu bukan sekadar meraikan kejayaan, sebaliknya mencerminkan semangat juang alumni dalam mengangkat nama UTM ke pentas dunia.

“Kecekalan mereka wajar dijadikan teladan kepada pelajar universiti dan golongan muda bahawa kecemerlangan tidak hanya di bilik kuliah, malah turut teruji di medan cabaran sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengimbau detik sukar apabila percubaan awal pada 2014 dan 2015 terpaksa dibatalkan susulan Gempa Bumi Nepal 2015 yang meragut nyawa ramai pendaki serta ribuan mangsa lain.

Namun, semangat pasukan tidak pernah luntur apabila mereka bangkit pada tahun berikutnya dengan memilih laluan Tibet (North Face), antara yang paling mencabar dan ketika itu belum pernah ditawan pendaki Malaysia.

Sementara itu, Presiden PAUTM, Datuk Mohamad Khairy Ambran menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil pengorbanan besar yang bermula sejak 2011 melalui usaha mengumpul dana serta latihan intensif.

Katanya, perjalanan itu turut diuji tragedi runtuhan salji pada 2014 yang mengorbankan 16 sherpa, namun cabaran berkenaan hanya menguatkan tekad pasukan untuk meneruskan misi.

Ekspedisi sempena ulang tahun sedekad itu sekali lagi akan diketuai Salleh sebagai simbol kesinambungan legasi dan inspirasi kepada generasi baharu.

Selain pendakian, kisah perjuangan pasukan turut akan diabadikan menerusi penerbitan mini dokumentari bertajuk The Unforeseen, selain penghasilan komik dan animasi legasi bagi mendekati generasi muda.

“Inisiatif ini diharap mampu menyemarakkan semangat ‘Malaysia Boleh’ di samping menggalakkan golongan muda mengamalkan gaya hidup sihat serta membina ketahanan mental,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button