BERITA SEMASA

UTM janji kerjasama penuh siasatan kematian pelatih PALAPES

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan punca kematian Pelatih Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22.

Dalam kenyataan semalam, UTM berkata, komitmen itu diberikan bagi membolehkan keluarga dan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“UTM menzahirkan komitmen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada keluarga dan pihak berkuasa supaya siasatan dapat dijalankan secara berhemah, telus dan adil,” menurut kenyataan itu.

Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), di sini.

Terdahulu, Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim mengiringi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Taman Pelangi, Semenyih, Selangor, semalam.

Ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, sebelum ini menggesa bedah siasat kedua dilakukan dan mahu kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Beliau berkata, permohonan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan siasatan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

Menurutnya, beliau yakin kematian anaknya bukan disebabkan sawan seperti dimaklumkan kerana terdapat kecederaan teruk dan pendarahan pada tubuh.

Pada 1 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden itu termasuk merakam keterangan saksi dan pegawai perubatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button