BERITA SEMASA

DBKL pantau pemulihan Stesen Keretapi KL, dijangka siap Mac depan

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembaikan dan pemulihan Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur kini memasuki Fasa 1 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini, selaras dengan usaha berterusan memelihara warisan serta identiti bandar raya Kuala Lumpur.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, kerja pemulihan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu bukan sekadar bertujuan memperindah struktur bangunan bersejarah berkenaan, malah mencerminkan komitmen jangka panjang dalam memelihara nilai seni bina warisan untuk tatapan generasi akan datang.

DBKL
Sebahagian kakitangan yang terlibat dalam memantau projek baik pulih dan mengecat bangunan tersebut.

Menurut DBKL, Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur merupakan antara elemen Warisan Kuala Lumpur dan termasuk dalam senarai 77 bangunan warisan yang dilindungi di bawah Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).

“DBKL akan terus memantau pelaksanaan kerja-kerja mengecat dan pemuliharaan agar mematuhi peruntukan Seksyen 74 dan 75 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi memastikan keaslian dan nilai seni bina bangunan ikonik ini terus terpelihara,” menurut DBKL menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bangunan bersejarah yang berusia lebih satu abad itu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila pernah disenaraikan sebagai stesen keretapi tercantik keempat di dunia oleh Architectural Digest sekali gus mengangkat nilai seni bina tempatan ke peringkat antarabangsa.

DBKL menegaskan, pemeliharaan bangunan warisan seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur mencerminkan wajah sebuah bandar raya yang terus membangun tanpa mengabaikan akar sejarahnya.

“Inilah wajah Kuala Lumpur yang membangun ke hadapan tanpa melupakan akar sejarahnya, di mana pemeliharaan warisan dan kemajuan bandar bergerak seiring.

“Dari satu generasi ke satu generasi, bangunan ini terus berdiri teguh, menyimpan kisah perjalanan sebuah kota yang berjiwa. Warisan dipelihara, identiti diraikan,” kata DBKL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button