BERITA SEMASA

Kerajaan komited perkasa kampung tradisi Melayu, kampung baru Cina dan India

PUTRAJAYA, – Kerajaan Madani terus komited dalam memperkasa pembangunan kampung tradisi Melayu, kampung baru Cina, dan kampung India menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah diamanahkan untuk menjaga kampung tradisi Melayu, manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipertanggungjawabkan bagi membangunkan kampung baru Cina dan India.

Katanya, di bawah bahagian Kampung Baru Cina (PKBC), kerajaan telah menetapkan empat dasar dan hala tuju utama bagi memastikan pembangunan lebih terancang dan mampan.

“Kita telah menetapkan empat dasar utama iaitu pertama, Satu Kampung Satu Produk, kedua, ekopelancongan, ketiga, projek keindahan kampung dan keempat, pembangunan infrastruktur,” katanya pada sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga sedang berbincang dengan syarikat e-dagang gergasi, Alibaba dari China, bagi memperluaskan pasaran produk kampung baru ke pasaran China.

“Inisiatif ini adalah untuk memastikan produk dari kampung-kampung dapat menembusi pasaran lebih luas dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pada tahun lalu, kerajaan Madani telah memperuntukkan RM1 bilion menerusi Program Ekonomi Sejati bagi membantu komuniti kampung tradisi, komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR), kampung baru, dan kampung India.

“Setiap kampung layak memohon sehingga RM100,000 dan saya berharap lebih banyak kampung akan memanfaatkan peruntukan ini bagi merancakkan lagi ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, program ini akan diteruskan pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan luar bandar lebih inklusif dan lestari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button