JENAYAH & MAHKAMAH

DBKL sita peralatan, kompaun ‘ulat foto’ di sekitar KLCC

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita empat peralatan dan mengeluarkan empat kompaun terhadap jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’ yang masih menjalankan aktiviti tanpa kebenaran di sekitar ibu negara.

DBKL berkata, tindakan itu diambil menerusi Op Lens Siri 4/2026 yang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurutnya, operasi bersepadu itu memfokuskan kepada penguatkuasaan terhadap perkhidmatan fotografi tanpa lesen di lokasi tumpuan awam seperti Pintasan Saloma dan Menara Berkembar Petronas.

“Sebanyak empat notis kompaun dikeluarkan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran, selain empat sitaan peralatan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Kami turut mengeluarkan dua notis hadir ke mahkamah terhadap individu terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah DBKL, semua peralatan yang disita telah dipindahkan ke stor sitaan untuk tujuan rekod dan dokumentasi lanjut.

Dalam operasi berasingan, DBKL turut mengambil tindakan terhadap lima premis perniagaan di sekitar Taman Pusat Kepong dan Jalan Mergastua yang didapati menghalang laluan awam.

Menurutnya, peralatan seperti kerusi, meja dan payung yang diletakkan di laluan pejalan kaki, petak parkir serta jalan awam telah disita dan dialihkan serta-merta.

“Kesemua premis terbabit turut dikenakan kompaun mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya lagi.

DBKL turut berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan ketenteraman awam serta pematuhan undang-undang dalam kalangan peniaga dan individu di ibu negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button