Cubaan seludup 8.15 juta batang rokok putih bernilai RM9.14 juta gagal
SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup 8.15 juta batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam bernilai keseluruhan RM9.14 juta termasuk duti dalam pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, bulan lalu.
Pengarahnya, Hasbollah Din berkata, rampasan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang pada pukul 11.15 pagi, 24 Jun lalu hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang diikrarkan membawa PE (Polyethylene) Tarpaulin atau kanvas plastik.
Beliau berkata, pemeriksaan rapi mendapati kontena berkenaan sebenarnya mengandungi 815 master case yang memuatkan 8,150,000 batang rokok putih dipercayai tidak berkastam.
“Nilai rampasan dianggarkan RM1.22 juta, manakala jumlah keseluruhan termasuk duti ialah RM9,144,300,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kontena terbabit dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan syarikat logistik yang mempunyai cawangan di sekitar Subang Jaya, Selangor, manakala muatan itu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Tenggara.
Hasbollah berkata, sindiket dipercayai menggunakan taktik membuat perisytiharan palsu dengan mengisytiharkan muatan sebagai kanvas plastik bagi mengaburi pemeriksaan pihak berkuasa, sedangkan kontena itu sebenarnya membawa rokok yang dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Sehubungan itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang merupakan pengurus sebuah syarikat perkapalan telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perisytiharan tidak benar.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, dipenjarakan maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















